TUKANG gunting dari India menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan di Brickfields, Kuala Lumpur. - FOTO Aizuddin Saad
TUKANG gunting dari India menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan di Brickfields, Kuala Lumpur. - FOTO Aizuddin Saad
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Persatuan Pengunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) memohon kerajaan menilai semula keputusan membuka pengambilan masuk pekerja asing bagi sektor itu berikutan menjejaskan industri dan peluang kerja tenaga mahir tempatan.

Presidennya, TN Winda Mohd Tahir berpendapat, tiada keperluan mengambil pekerja asing kerana kemahiran anak tempatan sudah mencukupi bagi menawarkan perkhidmatan terbaik.

Saban tahun katanya, negara melahirkan ramai tukang gunting profesional lepasan dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara dan pelbagai pusat akademi dan kemahiran lain yang diiktiraf kerajaan.

"Kita agak terkejut dan kesal dengan keputusan kerajaan biarpun sebelum ini dalam mesyuarat yang dihadiri bersama kementerian berkaitan kita sudah nyatakan perkara ini.

"Dari dulu memang kita tidak setuju mengambil pekerja asing mengisi perkhidmatan ini kerana jelas Malaysia ada tukang gunting profesional dari anak tempatan yang keluar dari pelbagai institusi bertauliah.

"Kesannya bukan saja persaingan kepada industri, malah menjejaskan peluang kerja anak tempatan yang berkemahiran dalam bidang ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan kerajaan menawarkan kuota pengambilan 7,500 pekerja asing dalam tiga subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut dan emas serta pekerja tekstil yang dibekukan sejak 2009.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu lain yang dipertikaikan sama ada pekerja asing itu melepasi piawaian menggunting rambut di Malaysia.

"Dasar kerajaan menetapkan, perkhidmatan termasuk penggunting rambut perlu terampil menerusi kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan 3.

"Apabila pekerja asing ini dibawa masuk, adakah mereka ini mempunyai kelayakan menggunting rambut mengikut standard ditetapkan?

"Isu ketiganya perlu dilihat, tidak perlu membawa masuk dengan jumlah sebegitu ramai kerana ini hanya menguntungkan sebelah pihak yang berniaga saja sedangkan apa nasib anak tempatan yang ada kemahiran ini?" katanya MBBA saja mempunyai lebih 10,000 keahlian.

Justeru, katanya penilaian semula secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum membenarkan kemasukan pekerja asing sektor itu.

"Yang terbaik kami berharap kerajaan dapat meneliti semula keputusan ini kerana memang tiada keperluan pun ambil orang luar apabila tenaga mahir anak tempatan sedia ada pun sudah ramai.

"Kalau pun mahu ambil pekerja asing bukan dalam jumlah ramai sangat dan sudah pasti perlu buktikan kemahiran mereka bertauliah sekurang-kurangnya SKM Tahap 2, supaya hasil guntingan mereka mengikut standard negara kita," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika mengumumkan keputusan kerajaan berkata, kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperhalusi mekanisme bersesuaian untuk melaksanakan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 7:05 AM