FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Pengusaha salun dan kedai gunting rambut di seluruh negara diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika pembukaan semula perniagaan masing-masing bermula esok.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir berkata, ini termasuk memastikan pekerja yang lengkap vaksinasi sahaja untuk berkhidmat.

Katanya, berdasarkan maklum balas yang diterima pihaknya mendapati terdapat pekerja sektor itu yang belum lengkap menerima vaksin Covid-19.

"Dalam kelegaan dapat beroperasi semula, kami bimbang dengan angka kes positif Covid-19 yang mencecah 20,000 sehari, malah terdapat sebahagian besar pekerja yang belum lengkap proses vaksinasi.

"Bagaimanapun, saya menasihatkan pengusaha supaya mematuhi SOP yang digariskan. Ia mesti dipatuhi dan yang terbaharu hanya pelanggan yang lengkap vaksinasi dan melepasi tempoh ditetapkan dibenar masuk ke premis.

"Pekerja juga perlu melengkapkan vaksinasi sebelum bekerja. Saya tidak mahu wujud kluster kedai gunting rambut yang pastinya akan merencatkan pembukaan sektor ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mohd Fareez Zabidi, 32, yang terpaksa menutup satu daripada tiga kedai gunting rambutnya berkata, dia bersyukur dan lega atas kelonggaran pengoperasian yang diberikan kerajaan.

"Saya dan pekerja akan membuat persediaan dari segi peralatan untuk menggunting rambut selain mematuhi garis panduan ditetapkan seperti sarung tangan, plastik pakai buang, cecair pembasmi kuman dan sebagainya.

"Cuma kebimbangan saya adalah ada pekerja belum lengkap vaksin. Saya berharap pihak kerajaan dapat mengutamakan proses vaksinasi kepada pekerja sektor ini dan sektor lain yang dibenarkan beroperasi," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran bagi 11 jenis aktiviti ekonomi beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok, termasuk kedai gunting rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 12:57 PM