Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Tidak timbul isu sokongan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) terjejas susulan keputusan Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Muda Amir Abdul Hadi berkata, partinya terpaksa mengambil tindakan demikian kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melanggar 'garisan merah' yang sepatutnya dijaga bersama.

"Ini bukan isu Muda menang disebabkan Pakatan Harapan (PH), kenapa perlu sasarkan Muda yang dikatakan parti kecil ini hanya kerana mengambil pendirian berprinsip dalam isu ini.

"Kita kata keluar (tarik sokongan) kerana ada garisan merah sudah dilanggar iaitu prosiding terhadap Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ditarik balik," katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung kes Ahmad Zahid kepada Jabatan Peguam Negara, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai peringatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke terhadap Syed Saddiq bahawa Ahli Parlimen Muar itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan sokongan PH, Amir berkata, parti itu sepatutnya menyatakan pendirian sebenar berhubung kes Ahmad Zahid.

"Kita tahu dengan keputusan ini, banyak perkara mungkin akan berlaku antaranya isu peruntukan dan sebagainya, namun Muda terpaksa mengambil sikap ini kerana ada prinsip yang kita pegang dan ada perkara yang kita tidak boleh langgar.

"Itu punca mengapa Muda ambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan dan walaupun Muda keluar daripada kerajaan, kita berada di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga, bukan bersama Perikatan Nasional," katanya.

Semalam, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Syed Saddiq dilaporkan berkata, beliau sudah memaklumkan pendirian diambilnya itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Johari Abdul melalui surat rasmi memohon pertimbangan berbuat demikian di bawah Peraturan Mesyuarat 2(2) Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Antara punca utama tindakan itu diambil adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar kebelakangan ini dilihat bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 12:55 PM