PEMANDU treler muatan tembikai dan simen maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 317.5 Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS) arah utara, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
PEMANDU treler muatan tembikai dan simen maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 317.5 Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS) arah utara, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
Rosman Shamsudin


Tapah: Pemandu treler muatan simen yang maut selepas dipercayai menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 317.4 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, petang semalam, di dapati mempunyai sebanyak 13 saman trafik terkumpul sejak tahun 2010.

Dalam kejadian terbabit , selain lelaki yang memandu treler muatan simen berumur 31 tahun, seorang lagi mangsa maut iaitu pemandu lelaki yang memandu lori muatan tembikai berusia 67 tahun.

Wanita yang memandu pacuan empat roda hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka serta dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan terbabit, jam 5.30 petang.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Chenderiang, Tapah yang menyebabkan dua pemandu lelaki berumur 31 dan 67 tahun maut di tempat kejadian.

"Siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku selepas sebuah treler muatan simen yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 31 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pembahagi tengah lebuh raya.

"Akibat kejadian itu, treler terbabit kemudian melanggar pula lori muatan tembikai dan pacuan empat roda di laluan bertentangan arah selatan ke utara," katanya dalam satu kenyataan, tengah malam tadi.

Mohd Yusri berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan punca kematian belum dikenali pasti.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:45 AM