GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Muhamaad Razis Ismail


PEMBANTU kedai makan dipenjara dua minggu dan denda RM4,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli turut menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap tertuduh Khairul Ikhwan Kamaruddin, 26, yang mengaku salah menunggang motosikal secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda bagi kedua-dua kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merempuh Lans Koperal Md Faizal Mohd Bakri, 23,yang sedang menjalankan tugas dengan motosikal Yamaha RXZ sehingga menyebabkan kecederaan di Jambatan Pak Nik Lah, Pengkalan Chepa, pada jam 11.30 malam, 9 Disember 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa menunggang motosikal dalam keadaan gopoh dan cuai sehingga menyebabkan kecederaan.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu dan anggota polis lain sedang membuat sekatan jalan raya di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum melanggar pengadu sehingga tidak sedarkan diri.

Terdahulu, peguam Norzaimah Mohamed dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman ringan berikutan tertuduh sudah insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizuan Sulaiman memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 1:23 PM