Bangunan Bank Negara.
Bangunan Bank Negara.
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mewujudkan Portal Fraud Kebangsaan bagi memaparkan maklumat akaun-akaun bank yang disyaki terbabit dalam jenayah penipuan kewangan di negara ini.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Marzunisham Omar berkata, kewujudan portal itu sedang diusahakan untuk mengurangkan kegiatan jenayah kewangan yang dikesan semakin membimbangkan.

Menurutnya, BNM ketika ini sedang bekerjasama institusi perbankan untuk mewujudkan portal berkenaan, yang dijangka akan dilancarkan pertengahan tahun depan.

"Dua perkara yang sedang dilaksanakan oleh BNM dalam usaha mengekang jenayah kewangan iaitu, bekerjasama dengan bank-bank untuk mengesan dan menjejak dana mangsa yang terbabit, secara automatik. Ini bagi memastikan wang yang ditipu itu tidak hilang.

"Kedua kita sedang bekerjasama untuk mewujudkan 'National Fraud Portal' yang akan membantu semua pihak khususnya bank untuk mengukuhkan sistem yang ada. Ini juga untuk 'melawan' kewujudan keldai akaun (mule accounts) yang menjadi alat kepada jenayah kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Bengkel Jenayah Kewangan bersama Media di Lanai Kijang, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zainudin; Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Kamal Baharin Omar.

Mengulas lanjut, Marzunisham berkata, portal berkenaan berbeza dengan portal-portal pencegahan jenayah kewangan lain kerana satu sistem akan dibangunkan untuk menganalisis akaun-akaun bank yang mencurigakan.

"Terdapat beberapa peringkat dalam kewujudan portal ini antaranya kita dapat mengesan potensi sesebuah akaun yang akan menjadi 'mule' dan digunakan untuk melakukan penipuan.

"Di masa hadapan, kita bakal mengadaptasi teknologi terbaharu untuk mengesan akaun-akaun yang berpotensi digunakan oleh penjenayah. Ia membolehkan kita melakukan pencegahan di masa hadapan sekali gus membantu mangsa mendapatkan semula wang yang ditipu," katanya.

Dalam perkembangan itu, Marzunisham berkata, penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi salah satu strategi kumpulan penipuan kewangan pada masa hadapan.

"Teknologi akan sentiasa berubah pada masa hadapan termasuklah kehadiran AI yang akan memberikan kesan positif pada masa hadapan. Malangnya di sebalik itu, ia juga akan digunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan perkara-perkara memudaratkan.

"BNM perlu sentiasa bersedia dengan apa juga situasi yang berpotensi pada masa hadapan termasuklah penggunaan AI sebagai alat oleh penjenayah kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 4:30 PM