RAZARUDIN Husain. FOTO Arkib NSTP
RAZARUDIN Husain. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan ratusan akaun keldai membabitkan RM32 juta dipercayai digunakan sindiket judi dalam talian di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan mendapati ada beratus-ratus judi online antaranya Winbox, 99, 88 dan polis sedang siasat siapa di belakang aktiviti berkenaan.

"Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) setakat ini berjaya membekukan akaun mule yang digunakan sindiket ini dianggarkan bernilai RM32 juta.

"Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti mereka yang terlibat untuk diambil tindakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Razarudin, pihak polis kini giat mengesan akaun-akaun keldai bagi membanteras kegiatan haram tersebut.

"Bukan saja judi online, namun sindiket turut menggunakan akaun keldai untuk kegiatan penipuan dalam pelaburan.

"Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah memberikan atau meminjamkan akaun bank kepada mana-mana individu kerana terdapat kemungkinan mereka dijadikan keldai akaun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 1:54 PM