Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau mengetahui bahawa ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA), Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberikan alasan yang dianggapnya kukuh terhadap keputusan itu dan tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan agar ia tidak dianggap berat sebelah.
"Saya tahu ramai yang tak puas hati. Betul. Itu hak mereka tanya Peguam Negara. Saya simpati juga kepada Peguam Negara sekarang (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) yang terpaksa beri penjelasan.
"Keputusan itu dibuat oleh bekas Peguam Negara (Idrus) yang dilantik oleh Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Dan dia (Idrus) beri alasan yang bagi dia kuat. Saya dengar.
"Kalau saya mula beri penjelasan, saya sudah berat sebelah. Di Singapura bila ditanya saya jawab, tapi saya dinasihatkan jangan tambah, kalau beri komen pasal 11 alasan itu seolah-olah terlibat.
"Saya tidak boleh jawab melainkan ini budi bicara oleh Peguam Negara," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menafikan berbincang dengan Idrus mengenai keputusan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pendakwaan jenayah.
Sebaliknya Anwar berkata, beliau meminta penjelasan keputusan DNAA itu dan jika boleh memohon Idrus untuk menangguhkan keputusan tersebut.
Anwar dalam masa sama turut menegaskan tidak campur tangan dalam kes Ahmad Zahid dan mengetahui Peguam Negaara mempunyai budi bicara terhadap soal pendakwaan seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, keputusan DNAA itu juga bukan perkara baharu, malah pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini dan menjadi rujukan.
"Kenyataan sebelum ini seolah-olah Perdana Menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian. Apakah saya berbincang? Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.
"Tan Sri Idrus terpaksa tarik atas alasan tertentu, saya cakap tidak boleh tangguh? Dia cakap tidak boleh. Saya tahu ramai tidak puas hati, termasuk kawan-kawan saya, tapi saya faham. Tapi, janganlah menghukum saya campur tangan.
"Adakah ada rujukan (keputusan DNAA terdahulu)? Ada. Sebelum ini beberapa rujukan membabitkan beberapa kes, oleh kerana kes DNAA ini melibatkan kes dibangkitkan, akhirnya keputusan dibuat Peguam Negara," katanya.