Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membangkitkan pelbagai 'persoalan' mengenai keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi puisi karangannya bertajuk 'Sajak DNAA'.

Menerusi puisi yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam, bekas Pengerusi PKR Johor itu seolah-olah meluah kekecewaan berhubung keputusan berkenaan dengan antara lain mempersoalkan perundangan negara didakwa mengamalkan 'sistem dua darjat'.

"Keputusan dilepas tanpa dibebas diberi begitu mudah saja. Begitu santai santai kelihatannya. Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang-undang yang ada?

"Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini. Jangan murka bila aku menyoal lagi benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur? Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum? Satu untuk rakyat jelata. Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?" katanya dalam bait puisi itu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya, berkata pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

Sebelum ini, Hassan pernah menghasilkan tiga puisi kontroversi yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan turut mengaitkan keputusan itu bertentangan dengan slogan 'reformasi' yang dilaungkan kerajaan hari ini.

"Kita hari hari bercakap basmi korupsi. Kita berdiri di tahap moral yang tinggi. Bebas dari rasuah, tegakkan integriti, kita melaungkan slogan reformasi. Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini sekarang?

"Prima facie telah terbukti, Tiba-tiba hari ini pertuduhan korupsi digugurkan. DNAA dihadiahkan," katanya lagi dalam puisi berkenaan yang mendapat lebih 350 tanda suka dan 102 perkongsian semula di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:16 PM