AMINOLHUDA Hassan. FOTO Arkib NSTP.
AMINOLHUDA Hassan. FOTO Arkib NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pakatan Harapan (PH) Johor sedang berbincang dengan Barisan Nasional (BN) negeri bagi membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata perbincangan itu adalah penting bagi memperhalusi strategi berhadapan lawan pada pilihan raya itu.

"Perbincangan antara PH Johor dengan BN Johor sedang dijalankan atas semangat 'Perpaduan Bawa Rahmah'.

"PH Johor tidak akan mengambil mudah terhadap dua pilihan raya ini dengan segala strategi akan diperhalusi bagi memastikan kemenangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Aminolhuda yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor dilaporkan memaklumkan PH Johor akan mengadakan mesyuarat bersama Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Jumaat ini.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, beliau mempengerusikan

mesyuarat Majlis Pimpinan PH Johor malam tadi.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

"Dalam mesyuarat itu, satu Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya telah dibentuk dan akan dipengerusikan saya bagi mendepani dua pilihan raya berkenaan.

"Ketiga-tiga parti komponen PH, menyatakan komitmen sepenuhnya bagi menggerakkan jentera pilihan raya itu dan menyatakan iltizam serta tekad mengekalkan kemenangan calon PH di kedua-dua kerusi," katanya.

Beliau berkata, PH Johor menyedari legasi 'Rahmah", kerja keras dan tanda aras terbaik yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sepanjang perkhidmatannya sebagai wakil rakyat serta anggota kabinet kerajaan.

"Beliau selayaknya diingati sebagai seorang negarawan yang budiman, berperibadi mulia dan sentiasa komited membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera. Oleh itu, PH Johor akan bekerja keras berhadapan dua pilihan raya ini bagi meneruskan legasi cemerlang ditinggalkan Allahyarham," katanya.

Tamat.From: Farid

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 11:34 AM