AMINOLHUDA (dua, kanan) dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) pada Mesyuarat  Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negeri Johor. FOTO Bernama
AMINOLHUDA (dua, kanan) dan Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad (dua, kiri) pada Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Negeri Johor. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dijangka diumumkan sebelum Aidilfitri nanti.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, calon bagi jawatan itu akan dipilih dalam kalangan pengerusi parti gabungan PH iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR dan DAP.

"Kita akan adakan perbincangan (bagi lantikan Pengerusi PH Johor) sebab sebelum ini AMANAH Johor masih belum selesai proses pemilihan pimpinan negeri.

"Hari ini AMANAH Johor sudah selesai adakan pemilihan Pimpinan Negeri jadi saya, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi PKR Johor, Rafizi Ramli akan mengadakan perbincangan pada sesi Dewan Rakyat nanti.

"Jadi kami akan duduk untuk bincang bersama bagi capai persetujuan mengenai siapa akan dilantik sebagai Pengerusi PH Johor," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Johor, di sini, hari ini.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat komplikasi pendarahan otak pada usia 61 tahun.

Dalam pada itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor, enggan melayan desakan pihak tertentu yang kononnya mahu beliau melepaskan jawatan parti di peringkat negeri.

"Saya dilantik menjadi Pengerusi AMANAH Johor oleh Pusat selepas nama saya dicalonkan AMANAH Kawasan negeri ini.

"Jadi saya hanya menurut perintah Jawatankuasa AMANAH Peringkat Nasional yang membuat keputusan.

"Saya tidak boleh ikut pandangan pihak tertentu sahaja sedangkan majoriti Kawasan mencalonkan nama saya," katanya.

Ditanya sama ada ketidakhadiran wakil sayap Pemuda AMANAH Johor dalam Mesyuarat Pimpinan Negeri hari ini sebagai protes tindakannya enggan meletak jawatan, Aminolhuda menyatakan beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

"Benar Pemuda AMANAH tidak hadir mesyuarat hari ini dan tidak memberikan alasan ketidakhadiran mereka. Sebaiknya persoalan ini diajukan pada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 5:18 PM