KEADAAN parit berhampiran Kampung Batu 7, Ijok yang didakwa sudah lama tidak diselenggara oleh pihak berwajib. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN parit berhampiran Kampung Batu 7, Ijok yang didakwa sudah lama tidak diselenggara oleh pihak berwajib. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Banjir termenung yang kerap berlaku di Kampung Batu 7, Ijok di sini dikenal pasti akibat kedudukannya yang berada dalam topografi kawasan terendah.

Jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kuala Selangor, Syaiful Mizan Zamiyan berkata, aliran air dari kawasan penempatan berhampiran juga terarah ke kampung itu kerana laluan keluar ke sungai melalui pintu air di Jalan Kunci Air yang terletak di kampung berkenaan.

"Apabila berlaku hujan lebat di bahagian hulu lembangan Sungai Buloh (dalam daerah Petaling dan Gombak), aras sungai di Kampung Batu 7, Ijok akan tinggi melebihi paras air parit kampung.

"Dalam keadaan ini, pintu air perlu ditutup bagi mengelak air sungai memasuki kampung. Keadaan aras air sungai tinggi akan berlarutan sehingga tiga hari.

"Sekiranya hujan berulang di hulu sungai, tempoh pintu air ditutup akan lebih lama," katanya yang menjawab laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk yang tidak tahan menghadapi banjir termenung selama bertahun.

Syaiful Mizan berkata, dalam tempoh itu air parit tidak dapat mengalir keluar melalui pintu air dan jika hujan lebat di kampung, ia akan mendorong pengumpulan air di kawasan yang rendah.

Untuk mengurangkan risiko kepada penduduk, katanya, JPS Kuala Selangor menempatkan tiga hingga lima pam bergerak yang sentiasa sedia untuk digunakan bagi mengeluarkan air banjir.

Syaiful Mizan juga menafikan dakwaan parit berhampiran Kampung Batu 7 sudah lama tidak diselenggara yang memburukkan situasi itu.

"JPS melaksanakan kerja penyelenggaraan parit menggunakan jentera, sekali setahun yang dijadualkan pada September hingga Disember, di samping penyelenggaraan tebasan parit kampung bagi tiga kali setahun.

"Keadaan selengaraan parit ketika ini masih terkawal," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh, beliau berkata, projek dianggar bernilai RM50 juta itu sedang berjalan dan dijadual siap April tahun depan.

Katanya, antara yang dilaksana adalah menaik taraf benteng sungai, membina pam kekal, pengorekan sungai, struktur keluar air ke sungai, kuarters operator dan pembinaan jambatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:05 AM