Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Tumpuan kini terarah kepada siapa bakal dilantik Menteri Besar Terengganu dan barisan Exco kerajaan negeri baharu susulan Pas menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Sehingga kini, Pas Terengganu masih berteka-teki siapa yang bakal dipilih untuk menjawat jawatan nombor satu di negeri itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyudin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan dikekalkan sebagai Menteri Besar buat penggal kedua.

Bagaimanapun, setakat 1 tengah hari tadi, tiada maklumat bila Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Terengganu akan dibuat.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Pas sudah mengadakan perbincangan untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapat perkenan pelantikan Menteri Besar Terengganu untuk pembentukan kerajaan negeri.

"Ramai yang tanya bila akan dibentuk kerajaan negeri Terengganu.

"Insya-Allah, pihak Pas telah adakan perbincangan untuk mempersembahkan nama calon Menteri Besar kepada Tuanku Sultan (Mizan Zainal Abidin) bagi mendapat perkenan pelantikan Menteri Besar Terengganu untuk pembentukan kerajaan negeri.

"Selesai pembentukan kerajaan negeri, ia akan disusuli pula dengan pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri. Mohon doa dari semua agar segala urusan ini dipermudahkan Allah SWT," katanya menerusi hantaran di Facebook.

PRN kali ini menyaksikan sejarah tercipta apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 1:42 PM