MUHAMMAD Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri selepas keputusan rasmi diumumkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik, hari ini. FOTO Bernama
MUHAMMAD Sanusi memenangi kerusi DUN Jeneri selepas keputusan rasmi diumumkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik, hari ini. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa tidak berniat menayang kertas undi ketika membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku di luar kawalannya kerana melayan kehendak petugas media yang memintanya berpusing ke kanan dan kiri.

"Tak terniat saya untuk pamer, tapi bila kelam-kabut melayan permintaan rakan-rakan wartawan, bila saya pusing sana pusing sini kertas itu terbuka, dia lipat dua, bila lipat nak masuk dalam tong, depa kata pusing sini dulu, saya pusing.

"Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya 'tang' (pada) gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi)," katanya ketika ditemui selepas diumumkan berjaya mempertahankan DUN Jeneri di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik, di sini, malam ini.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi hari ini didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .

Mengikut akta berkaitan, perbuatan itu adalah satu kesalahan mengikut Perkara (39), yang menyebut - tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.

Akta itu selanjutnya menyebut, kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, berkata gambar itu seolah-olah sengaja disiarkan oleh petugas media terbabit kerana terdapat lebih banyak gambar lain yang boleh dipilih untuk disiarkan.

"Saya rasa satu etika yang tak bagus untuk wartawan kan, banyak lagi gambar yang elok pasai apa (kenapa) pilih gambar itu.

"Saya akan cari dia sampai lubang cacing untuk bagi nasihat kepadanya, jadilah mata lebah jangan jadi mata lalat, orang nak perkena saya banyak, menteri pun ada turun sini nak pekena saya, (tapi) tak kena pun, jadi tok sah lah buat keja macam tu, banyak lagi gambar lain yang lebih baik," katanya.

Muhammad Sanusi berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti selesa sebanyak 16,050 pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) kali ini.

Beliau memperoleh sebanyak 21,823 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat sebanyak 5,773 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 12:22 AM