Tunku Ismail sebagai wakil rasmi Sultan Johor semperna Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-58 Kem Iskandar di Mersing hari ini. FOTO IHSAN RPO
Tunku Ismail sebagai wakil rasmi Sultan Johor semperna Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-58 Kem Iskandar di Mersing hari ini. FOTO IHSAN RPO
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah kepemimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memberi tumpuan khas terhadap peralatan berteknologi tinggi bagi Rejimen Gerak Khas.

Dalam hantaran terbaharu di laman sosial, baginda bertitah, perkara itu bagi memastikan rejimen berkenaan terus memberikan khidmat dan mampu menyempurnakan misi dipertanggungjawabkan.

"Saya berharap pucuk pimpinan ATM akan terus memberikan keutamaan dalam pemilikan dan peningkatan perolehan pada masa akan datang," titah baginda yang dibacakan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim.

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah demikian pada titah ucapan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-58 di Kem Iskandar di Mersing, hari ini.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pimpinan ATM dan Tentera Darat Malaysia atas keprihatinan serta kesungguhan dalam memastikan segala keperluan kelengkapan, persenjataan dan aset Rejimen Gerak Khas berada pada tahap membanggakan.

"Pembangunan keupayaan Gerak Khas dapat dilihat dengan peningkatan perolehan aset perairan, persenjataan, komunikasi, peralatan penerjunan serta penambahbaikan kemudahan latihan seperti pembinaan kolam selam tempur.

"Ini termasuk 'air craft compass wing' dan menaik taraf rumah tempur jarak dekat," titah baginda.

Bersempena sambutan berkenaan, Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan Anugerah Jaguh Sukan Gerak Khas pada majlis yang berlangsung di Hangar Skuadron Perahu Khas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:48 PM