GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Mamat


MASALAH gangguan sistem telekomunikasi yang sering berlaku di sekitar daerah Melaka Tengah, akhirnya terbongkar susulan penahanan lapan ahli kumpulan 'Geng Adi Telekom Malaysia (TM)', sejak beberapa minggu lalu.

Ahli kumpulan itu dikesan aktif melakukan perbuatan khianat dengan memotong kabel gentian optik (FOC) milik TM di negeri ini sejak sebulan lalu.

Mereka bagaimanapun ditahan dalam tujuh siri tangkapan berasingan di sekitar Melaka dan Johor oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata semua lelaki berusia antara 24 hingga 42 tahun itu bekerja sebagai penarik dan penyambung kabel, termasuk seorang kontraktor yang tinggal di Taman Tasik Utama Ayer Keroh, di Melaka.

Katanya, kegiatan ahli kumpulan itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi juga di pinggir dan luar bandar termasuk di daerah Merlimau.

"Hasil beberapa siasatan dan intipan, pihak polis memulakan tangkapan sejak Sabtu hingga semalam, selain merampas tiga kenderaan model Proton Saga Flx, Perodua Alza serta kereta model Mercedes-Benz.

"Pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam melakukan perbuatan memotong kabel," katanya selepas Program Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Balai Polis Malim, Melaka tadi.

Afzanizar berkata, hasil soal siasat, mendapati kegiatan jenayah itu dirancang oleh seorang kontraktor berusia 42 tahun, manakala suspek lain adalah pekerjanya.

Katanya, seorang daripada mereka juga dipercayai berperanan membuka peti 'manhole' dan memotong kabel FOC.

"Kabel itu tidak dicuri, sebaliknya punca utama perbuatan khianat ini kerana mereka tidak berpuas hati terhadap seorang penyelenggara TM yang memeriksa hasil kerja dilakukan sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan lampau mendapati tiga daripada lapan suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, kecurian dan perjudian.

"Polis yakin berjaya menyelesaikan beberapa kes potong kabel di daerah ini dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM500,000 membabitkan empat kes di Melaka termasuk kos baik pulih.

"Semua mereka direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 7:02 PM