Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang badan dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini malam tadi.

Mangsa berusia 51 tahun itu ditemui di tempat duduk belakang di dalam teksi dengan keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 10.56 malam memaklumkan terdapat teksi berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian sebelum pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki dalam kenderaan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan pakaiannya berlumuran darah di tempat duduk pemandu manakala seorang lagi lelaki yang cedera parah dan tidak bergerak berada di tempat duduk belakang.

"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang sudah meninggal dunia.

"Polis turut merampas pisau yang ditemui di pelapik kaki pemandu untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah pemandu teksi berkenaan manakala suspek berusia 29 tahun adalah penumpang.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Pagi ini, suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 8:21 AM
Anggota Polis mengangkat mayat seorang lelaki ditemui mati  dengan beberapa kesan kecederaan  berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini malam tadi.  FOTO GHAZALI KORI
Anggota Polis mengangkat mayat seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan kecederaan berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini malam tadi. FOTO GHAZALI KORI