Datuk Halimah Mohamed Sadique
Datuk Halimah Mohamed Sadique
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bekas Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, masih setia menjadi ahli Umno termasuk menjawat jawatan Exco Wanita Umno, walaupun pelbagai spekulasi bertiup kencang kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan sumber terdekat Halimah yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Kata sumber itu, pemimpin berkenaan juga tidak pernah membangkitkan isu bakal menyertai parti lain termasuk PAS, setakat ini.

"Datuk Halimah Mohamed Sadique masih ahli Umno. Beliau juga aktif dengan gerak kerja Wanita Umno apatah lagi menjawat jawatan Exco sayap berkenaan.

"Bagi saya tidak munasabah beliau akan menyertai parti lain tetapi dalam masa sama aktif di lapangan bersama Umno.

"Beliau juga tidak pernah membangkitkan pun mengenai perkara ini (sertai PAS) setakat ini," katanya ketika dihubungi.

Isnin lalu, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai spekulasi Halimah menyertai parti itu.

Ia susulan spekulasi bertiup kencang bahawa Halimah bersama beberapa bekas pimpinan Umno bakal menyertai PAS dan Perikatan Nasional (PN).

Pada 15 Mei lalu, PAS dilaporkan mengesahkan beberapa nama besar daripada Umno akan menyertai parti itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia serta PN tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, kesemua nama mereka akan diumumkan pada awal Jun nanti.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan mengesahkan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa sudah memaklumkan hasrat untuk menyertai itu.

Perkembangan itu menyusul selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tan Sri Noh Omar dilaporkan mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor di bawah tiket PN.

Halimah digugurkan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggantikan Halimah sebagai Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Halimah menjadi Ahli Parlimen Tenggara atas tiket Umno selepas menang kerusi berkenaan pada 2008 dan mengekalkannya sehingga 2018, sebelum berpindah ke Parlimen Kota Tinggi pada PRU 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 12:21 PM