Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gopeng: Seorang bapa merayu supaya anak lelakinya yang sudah empat tahun ditahan di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Teluk Intan, atas alasan tiada kad pengenalan, segera dibebaskan berikutan beberapa butiran dalam sijil kelahiran anaknya itu tidak lengkap.

R Rama Chandaran, 54, berkata anaknya, R Tayalan, 26, yang sudah memeluk Islam sejak berusia 12 tahun dengan nama Mohd Farid Abdullah dan mempunyai sijil kelahiran warganegara Malaysia, namun pada maklumat mengenai butiran ibu pada sijil lahirnya, tiada maklumat dipaparkan.

Katanya, ia menyebabkan sukar untuk anaknya membuat kad pengenalan selain permohonan membebaskan anaknya dari depot itu ditolak hanya kerana tiada maklumat ibu dipaparkan pada sijil lahir warganegara Malaysia milik anaknya yang dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.

Menurutnya, Mohd Farid ditahan pada 2019 dalam serbuan polis ke atas sebuah bengkel membaiki kereta tempat anaknya bekerja di Klebang di sini, namun hanya sekitar setahun selepas itu, baru pihaknya dimaklumkan yang anaknya berada di depot tahanan itu.

Dakwanya, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menolak untuk membebaskan anaknya dari depot berkenaan walaupun sudah dua kali mengunjungi depot itu untuk proses membebaskan anaknya, atas alasan memerlukan sijil kelahiran asal yang lengkap dengan butiran ibu kepada Mohd Farid.

"Sebenarnya Mohd Farid sudah berusaha untuk memperoleh kad pengenalan tetapi tidak berjaya kerana tiada maklumat lengkap ibu pada sijil kelahiran, selain memandangkan saya dan isteri sudah lama berpisah yang mana ia sedikit sebanyak menyukarkan urusan hingga ia berlarutan.

"Tayalan (Mohd Farid) memeluk Islam sejak berusia 12 tahun dan dihantar ke mengikuti pengajian agama Islam di sini, selain turut menimba ilmu mempelajari kemahiran berkaitan bengkel membaiki kereta di pusat pengajian agama ini.

"Semasa ditangkap, Tayalan dikatakan sedang tolong membaiki kereta di sebuah bengkel rakannya dan disebabkan tiada kad pengenalan, dia terus ditahan dan diserahkan kepada Imigresen," katanya dalam sidang media di pusat pengajian agama Islam Pondok Al Jaafar di Jalan Gua Tempurung, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pondok Al Jaafar, Mohamad Tarudi Bahari berkata, proses melengkapkan butiran sijil kelahiran bahagian ibu milik Mohd Farid sudah dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, pada Jun lalu, hasil kerjasama beliau dengan Rama Chandaran dan bekas isteri Rama Chandran yang sudah berjaya dijejaki.

Katanya, dokumen itu perlu bagi membolehkan proses seterusnya dilakukan oleh pihak Imigresen selain pihak JPN bagi urusan seterusnya termasuk bagi pemilikan kad pengenalan Mohd Farid.

Katanya, sepanjang tempoh tiga tahun sesudah keberadaan Mohd Farid dikenal pasti berada di depot tahanan, beliau dan Rama Chandran menjejaki ibu kandung Mohd Farid dan berjaya sebelum beralih kepada proses seterusnya iaitu angkat sumpah di JPN.

Beliau berkata, bagaimanapun, proses pengeluaran sijil kelahiran baharu yang lengkap dengan butiran ibu, namun perlu menunggu sehingga hujung September ini untuk pengeluaran sijil kelahiran yang baharu.

"Kami harap usaha yang dilakukan ini dapat menjamin kebebasan Mohd Farid, kerana setakat ini kami tidak dimaklumkan yang dia ada lakukan kesalahan lain, selain daripada tidak memiliki pengenalan diri warganegara," katanya.

Tarudi (kanan) bersama R Ramachandran (kiri) menunjukkan foto R Tayalan @ Mohd Farid serta semua dokumentasi yang membuktikan Mohd Farid adalah anak angkatnya yang merupakan warganegara Malaysia. FOTO BERNAMA
Tarudi (kanan) bersama R Ramachandran (kiri) menunjukkan foto R Tayalan @ Mohd Farid serta semua dokumentasi yang membuktikan Mohd Farid adalah anak angkatnya yang merupakan warganegara Malaysia. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 8:44 AM