Anthony ketika sidang media di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, Jalan Lim Lean Teng. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Anthony ketika sidang media di Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, Jalan Lim Lean Teng. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Pendirian saya adalah tegas dan terbuka bahawa Chow Kon Yeow akan menjadi Ketua Menteri sepanjang penggal jika kita berjaya memenangi mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini."

Begitu kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai dakwaan terdapat rancangan menjatuhkan Kon Yeow dalam pemilihan parti itu walaupun beliau akan dilantik semula sebagai Ketua Menteri kelak.

"Siapa punya plan (rancangan)? Saya sudah beri kenyataan secara terbuka bahawa pemilihan kita bagi calon Ketua Menteri bagi penggal ini ialah Kon Yeow yang perlu memenangi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Selepas kerajaan negeri dibentuk, Kon Yeow akan dilantik serta dinamakan sebagai Ketua Menteri dan kita akan pastikan sokongan kepada beliau berterusan sepanjang penggal depan.

"Ia adalah komitmen dan pendirian parti DAP, jadi jangan dengar dakwaan itu kerana tidak sahih. Mereka tidak mewakili pendirian DAP," katanya.

Anthony berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, Jalan Lim Lean Teng, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim dan calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Putih Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dakwaan lain itu hanya mahu mengeruhkan keadaan dan mengambil kesempatan bagi menimbulkan keadaan tidak menentu dalam kalangan rakyat.

"Diharap rakyat tidak terpengaruh, (disebabkan) dakwaan itu dibuat oleh orang yang kecewa kerana tidak dapat jadi calon dan bila kecewa, mereka buat bermacam-macam dakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:46 PM