Mohd Amin Jalil


Seremban: "Kalau saya bertanding di Pulau Pinang, saya kena tukar alamat. Setakat ini alamat saya masih di Seremban, Negeri Sembilan," kata Setiausaha Agung DAP merangkap Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke.

Loke menjawab dakwaan pihak tertentu bahawa beliau akan bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Loke berkata, beliau belum memikirkan soal sama ada bertanding atau tidak termasuk di Pulau Pinang pada PRN itu nanti.

"Saya belum fikir perkara itu, saya boleh tunjuk IC (kad pengenalan) masih beralamat di Negeri Sembilan, itu sahaja saya boleh jawab," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat DAP Negeri Sembilan di Pejabat DAP negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir, barisan kepemimpinan DAP Negeri Sembilan.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan ada desas-desus menyatakan Loke yang juga Menteri Pengangkutan akan bertanding di Pulau Pinang pada PRN akan datang, seterusnya bakal menjadi calon Ketua Menteri baharu menggantikan Chow Kon Yeow.

Spekulasi itu kemudiannya dijawab Kon Yeow yang menyifatkan dakwaan berkenaan tidak ubah seperti menyebarkan khabar angin kononnya beliau akan bertanding di Seremban, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Loke berkata, fokusnya hari ini adalah selaku Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan bukannya sebagai Setiausaha Agung DAP.

"Fokus saya kepada persiapan PRN di Negeri Sembilan, nanti saya akan melawat Pulau Pinang dan (wartawan) boleh tanya soalan itu (kedudukan Kon Yeow)," katanya.

DUN Negeri Sembilan secara rasminya dibubarkan hari ini selepas lengkap lima tahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri apabila gabungan itu menang 20 daripada 36 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 5:03 PM