AHMAD Zahid diiringi Ab Rauf di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Melaka di Kampung Pulau Masjid Tanah, malam ini. FOTO AMIR MAMAT
AHMAD Zahid diiringi Ab Rauf di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Melaka di Kampung Pulau Masjid Tanah, malam ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Masjid Tanah: Proses pembahagian kerusi antara parti gabungan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hampir selesai, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi bagi Gabungan Parti Politik Kerajaan Perpaduan akan diadakan Ahad ini sebagai langkah memperincikan lagi cadangan pembahagian kerusi itu.

Katanya, mesyuarat membabitkan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) itu juga akan membincangkan persiapan parti gabungan itu untuk menghadapi PRN di enam negeri yang dijangka diadakan Julai ini.

"Setakat ini persiapan kami adalah untuk menentukan kerusi yang akan diagihkan dan di peringkat negeri (yang terbabit dengan PRN), perundingan antara BN dan PH (pengagihan kerusi) Insya-Allah hampir selesai.

"Selepas selesai kelak, semua keputusan negeri yang terbabit akan dibawa ke parti masing-masing sebelum satu lagi rundingan di peringkat nasional dibuat untuk kita memuktamadkannya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Badan Perhubungan UMNO Melaka di Villa D' Acqua Kampung Pulau, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution serta beberapa pemimpin politik Kerajaan Perpaduan.

Dalam ada itu, mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kebanyakan negeri sudah mendapat kesefahaman yang baik dalam soal pembahagian kerusi antara pemimpin parti.

"Mana-mana kerusi yang membabitkan parti komponen BN, ia akan diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu.

"Saya juga yakin parti dalam PH (juga begitu), namun kami memandang pentingnya PRN ini kerana ia adalah manifestasi terhadap pengiktirafan kepada Kerajaan Perpaduan yang memimpin Malaysia secara keseluruhannya.

"Segala persiapan akan dibuat secara rapi yang mungkin, namun apa yang lebih penting adalah kerjasama antara jentera parti bukan sahaja di peringkat negeri tetapi di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta lokaliti," katanya.

Sebelum ini, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Negeri berkenaan adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 11:55 PM