Nazdy Harun

Kuala Berang: Keahlian bekas Exco Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diluluskan sendiri oleh Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, Muhamad Muqharabbin menelefonnya menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu.

Menurutnya, sebaik memeriksa permohonan yang dibuat secara dalam talian itu, beliau terus meluluskannya.

"Jadi apabila dia jumpa dengan saya.. saya sambut dia dan saya ucap terima kasih kerana mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan PN (Perikatan Nasional).

"Saya sudah bagi tahu sekarang ini keluarga yang besar itu (PN) sudah menjadi lebih besar dengan kemasukan ahli-ahli yang dahulunya bersama dengan Umno, yang dahulunya bersama MIC, ada juga dengan MCA, yang sudah mula bersama dengan kami di PN.

"Jadi.. itu memberikan satu lagi semangat kepada kita di peringkat tertinggi ini bahawa perjuangan yang kita bawa ini diterima baik oleh rakyat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Markas Pas Kampung, Durian Badur di sini, semalam.

Hamzah menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Markas PAS Kampung, Durian Badur. FOTO NAZDY HARUN
Hamzah menghadiri Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Markas PAS Kampung, Durian Badur. FOTO NAZDY HARUN

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 8:41 AM