Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pas kini didakwa mengalami krisis besar berhubung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang digugurkan selain perebutan jawatan Menteri Besar.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, turut mendakwa mereka yang digugurkan kini membuat protes secara senyap.

"Kita dapati Pas kini mengalami krisis besar apabila ramai yang digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan alasan sudah berkhidmat lebih tiga penggal.

"Sedangkan ada dalam kalangan mereka baru berkhidmat satu penggal berdasarkan percakapan saya dengan beberapa orang dari parti berkenaan.

"Saya yakin protes secara senyap itu akan memberi kesan besar kepada slogan Pas untuk mempertahankan Kelantan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Pada masa sama, Md Alwi juga turut menjangkakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob tidak akan dikekalkan sebagai Menteri Besar Kelantan.

"Pada hemat saya Kelantan akan mendapat Menteri Besar yang baharu sekiranya Pas terus mentadbir Kelantan dan perkara ini saya hampir pasti.

"Cuma saya tidak tahu siapa yang akan menjadi Menteri Besar menerusi susulan gabungan mereka menerusi Perikatan Nasional (PN).

"Namun memang ada perebutan dalam Pas (jawatan Menteri Besar)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:10 PM