Datuk Ahmad Yakob melancarkan program Perikatan Nasional Kelantan bertemakan ‘Kelantan maju rakyat sejahtera’ sempena pilihan raya negeri (PRN) Kelantan di Tanah Merah, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Datuk Ahmad Yakob melancarkan program Perikatan Nasional Kelantan bertemakan ‘Kelantan maju rakyat sejahtera’ sempena pilihan raya negeri (PRN) Kelantan di Tanah Merah, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hazira Ahmad Zaidi


Tanah Merah: Perikatan Nasional (PN) Kelantan mengemukakan 18 tawaran utama menerusi manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bertemakan "Kelantan Maju Rakyat Sejahtera" tawaran yang dikemukan itu membabitkan 96 pengisian program.

Antara yang ditawarkan PN Kelantan adalah menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (TAPS).

Tawaran lain membabitkan program pembangunan sosioekonomi yang memberi fokus pembukaan bandar-bandar baru dan membangunkan bandar sempadan yang mampu menambah peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika mengumumkan tawaran itu berkata, itu adalah program yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun akan datang sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

"Ini bukan tawaran retorik atau janji kosong sebaliknya kesemua program itu akan dilaksanakan sebagai janji malam ini.

"Apa yang kita tawarkan itu juga mengikut keupayaan negeri selepas mengadakan perbincangan dan berharap rakyat terus mengekalkan pemerintahan PAS di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program PN Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, untuk manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pihaknya berjaya menyelesaikan 98 peratus.

Sementara itu, Ahmad berkata isu membabitkan Nik Mohamad Abduh sudah selesai dan tidak perlu diperbesarkan.

Timbalan Mursyidul Am PAS itu berkata, mereka semua adalah sahabat.

"Itu semua sudah selesai, sahabat kita semua," katanya ringkas ketika mengulas berhubung isu yang membabitkan bekas Ahli Parlimen Bachok itu.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh mengumumkan mahu berehat daripada politik untuk satu tempoh tertentu yang dipercayai ada kaitan berhubung isu tidak dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 1:03 AM