ANTARA motosikal yang disita dalam Ops Samseng Jalanan di daerah Kemaman. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA motosikal yang disita dalam Ops Samseng Jalanan di daerah Kemaman. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


HAJAT ratusan 'mat motor' berkumpul menyaksikan aksi lima mat rempit menguji motosikal di Jalan Chukai, Air Putih, di sini, terbantut selepas kawasan berkenaan diserbu polis kelmarin.

Dalam Ops Samseng Jalanan bermula jam 6.30 hingga 6.45 petang itu, ratusan 'mat motor' yang menjadi penonton melarikan diri bagi mengelak dicekup.

Operasi membabitkan 20 pegawai dan anggota daripada 'Team Hilux Hitam' dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah Kemaman itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam mengenai kegiatan rempit di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati kawasan itu dipenuhi ratusan 'mat motor' yang menyaksikan aksi lima mat rempit sebelum mereka beredar sebaik menyedari kehadiran anggota.

Katanya, pihaknya berjaya menahan tiga daripada lima mat rempit manakala dua daripadanya melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing.

"Hasil soal siasat, mereka memaklumkan melakukan aktiviti itu sekadar suka-suka dan tidak membabitkan sebarang pertaruhan.

"Dalam serbuan kedua bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi semalam di Jalan Bukit Kuang, tiga daripada lima mat rempit yang beraksi dan menunggang dalam keadaan berbahaya ditahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanyan berkata, selain menahan enam lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun, pihaknya turut menyita 10 motosikal untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, sebanyak 30 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tidak patuh arahan polis, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai ekzos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 4:22 PM