MAYAT remaja perempuan selepas dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat 12 di sebuah kondominium. FOTO Ihsan Pembaca
MAYAT remaja perempuan selepas dipercayai terjatuh dari balkoni tingkat 12 di sebuah kondominium. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Ketika itu, saya lihat remaja terbabit dalam pangkuan ibunya yang sedang menangis selepas terjatuh dari tingkat 12," kata saksi kejadian yang enggan dikenali berusia 38 tahun.

Dalam kejadian 8 malam kelmarin, remaja perempuan warga Bangladesh itu maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium di Jalan Tiara, Titiwangsa, di sini.

Menurut saksi terbabit, dia yang berada di kondomium terbabit bergegas ke lokasi mangsa terjatuh selepas mengetahui kejadian itu untuk melihat apa yang berlaku.

"Saya tidak datang dekat kepada mereka namun ketika itu ada melihat ibu remaja terbabit sudah memangku anaknya yang sudah tidak sedar.

"Ibunya juga menangis ketika itu sebelum pihak polis tiba tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan penemuan mayat remaja perempuan 14 tahun yang dipercayai jatuh dari tingkat 12 menggemparkan penduduk sebuah kondominium di Jalan Tiara, Titiwangsa, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan talian MERS 999 berhubung kejadian itu jam 8.20 malam.

"Mangsa adalah seorang remaja perempuan warga asing berusia 14 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di atas jalan di blok B kondominium terbabit.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi jam 8.40 malam," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian, namun tiada CCTV di bahagian dalam rumah mangsa.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah berhubung kejadian berkenaan.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa memanjat sebuah tong sampah berwarna hitam di balkoni sebelum terjatuh.

"Mangsa menetap di Malaysia bersama ibu dan kakaknya sejak lapan tahun lalu, manakala bapanya kini berada di Bangladesh," katanya.

Ashari berkata, siasatan diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.

"Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Polis Wangsa Maju menerusi Hotline 03-9289 9222, dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 1:40 PM