HABIB Bourguiba tiba lewat pada penamaan calon di pusat penamaan calon Parlimen Titiwangsa di Dewan Bestari Aminuddin Baki Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. semalam. FOTO Aswadi Alias
HABIB Bourguiba tiba lewat pada penamaan calon di pusat penamaan calon Parlimen Titiwangsa di Dewan Bestari Aminuddin Baki Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. semalam. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan individu orang kurang upaya (OKU) yang tidak dapat masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Titiwangsa untuk menyerahkan borang penamaan calon, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, menurut lelaki terbabit, dia mendakwa kelewatan ke PPC itu kerana kesesakan jalan raya ekoran banyak jalan ditutup.

"Susulan itu, satu laporan dibuat pegawai kanan polis yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Zon PPC di Titiwangsa, hari ini.

"Kertas siasatan dibuka bagi menyiasat kesahihan dakwaan individu berkenaan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, polis masih lagi melakukan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan individu berkenaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Semalam, media melaporkan hasrat pesara swasta yang juga OKU penglihatan, Habib Bourguiba Abd Hamid bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Titiwangsa, tidak menjadi kenyataan selepas tidak dibenarkan masuk ke PPC.

Ia berikutan Habib Bourguiba, 53, tiba lewat dua minit selepas Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said mengumumkan waktu penerimaan kertas penamaan calon tamat dan proses penamaan calon bagi Parlimen Titiwangsa ditutup jam 10 pagi.

Anak jati Kampung Datuk Keramat yang hadir berbaju putih dan bertongkat itu mendakwa tiba lewat kerana kesesakan jalan raya akibat banyak jalan raya di ibu negara ditutup sempena penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 6:36 PM