MANGSA panahan petir meninggal dunia di tempat kejadian.
MANGSA panahan petir meninggal dunia di tempat kejadian.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang sedang berjoging di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, maut dalam keadaan mengerikan selepas dipanah petir petang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa, S Palinappan, 52, maut terbakar di tubuh sejurus disambar petir ketika melalui laluan berhampiran Kelab Golf Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Difahamkan mangsa yang tinggal di Setapak, di sini, berjoging seorang diri sejak jam 6 petang di kawasan rekreasi itu.

Petir dikatakan menyambar sebatang pokok kelapa berhampiran sebelum mengenai tubuh mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian sebelum sempat dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, siasatan mendapati petir yang menyambar mangsa turut mengakibatkan jalan di kawasan itu pecah dan berlubang.

"Mangsa luka di kepala selain kesan terbakar pada tubuh. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga, semalam," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:03 AM