REPLIKA bendera Malaysia yang digantung di hadapan menara hos di Balai Bomba dan Penyelamat di Bandar Baru Selayang. Foto Ihsan Rafiq Syahmi
REPLIKA bendera Malaysia yang digantung di hadapan menara hos di Balai Bomba dan Penyelamat di Bandar Baru Selayang. Foto Ihsan Rafiq Syahmi
Aqil Sharullizam


Selayang: Selain kerja menyelamat, abang bomba juga kreatif dalam menghasilkan replika Jalur Gemilang dengan menggunakan hos pemadam api terpakai.

Aktiviti ini diusahakan secara bersama oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Selayang bagi menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan.

Ketua BBP Selayang, Zaidi Athan, 50, berkata, idea itu timbul hasil daripada buah fikiran bersama.

"Kita digalakkan untuk menyambut kemerdekaan di peringkat balai serta tahun ini, kita tambah baik segala aktiviti dengan memasang Jalur Gemilang, menyediakan sudut kemerdekaan dan menghasilkan replika bersama anggota.

"Kita kumpulkan hos ini daripada balai terdekat yang mahu melupuskannya. Kita ambil masa dua minggu untuk menyiapkan replika ini," katanya ditemui.

ANGGOTA bomba sedang melukis jalur bintang Jalur Gemilang di atas hos pemadam api. Foto Ihsan Rafiq Syahmi
ANGGOTA bomba sedang melukis jalur bintang Jalur Gemilang di atas hos pemadam api. Foto Ihsan Rafiq Syahmi

Menurut beliau, pihaknya menggunakan 14 hos dengan setiap satunya seberat 20 kilogram untuk menghasilkan replika itu.

"Kesemua hos dicantum terlebih dahulu sebelum dicat dengan warna Jalur Gemilang," katanya.

Zaidi berkata, pihaknya hanya mengeluarkan kos untuk membeli cat sahaja.

Pada masa sama, mereka turut menggunakan barangan terpakai seperti pili bomba, besi terbuang dan botol plastik untuk menghasilkan replika lain.

Pemangku Penyelia Pasukan Bomba, Nasyaruzi Awang Nor, 43, berkata, seluruh anggota BBP Selayang terbabit menyiapkan replika berkenaan.

ANGGOTA bomba sedang melakukan proses mengecat hos mengikut warna Jalur Gemilang. Foto Ihsan Rafiq Syahmi
ANGGOTA bomba sedang melakukan proses mengecat hos mengikut warna Jalur Gemilang. Foto Ihsan Rafiq Syahmi

"Kita perlukan 12 anggota untuk menyiapkan replika itu. Proses ini sangat mencabar kerana hos itu berat selain kami perlu menjaga keadaan bendera supaya tidak rosak sewaktu dinaikkan," katanya.

Sementara itu, Hermey Hamid, 48, semua anggota BBP memberikan komitmen dan sokongan terhadap aktiviti berkenaan.

"Walaupun sibuk dengan aktiviti menyelamat, namun anggota tetap memberi sepenuh komitmen untuk menyiapkan replika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 7:02 AM