Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 53 motosikal dan lapan kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.05 pagi.

"Seramai 24 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju, BBP Gombak Selatan dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi.

ANTARA motosikal yang musnah dalam kejadian itu. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA motosikal yang musnah dalam kejadian itu. FOTO Ihsan Bomba

"Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak dalam kebakaran itu yang membabitkan 53 motosikal serta lapan kereta diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di perumahan berkenaan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan semua motosikal terbabit hampir 100 musnah, manakala 60 hingga 80 peratus kerosakan bagi lapan kereta berkenaan.

"Kebakaran itu berjaya dikawal oleh anggota bomba bertugas jam 5.25 pagi dan padam sepenuhnya jam 5.47 pagi.

"Kejadian ini tidak membabitkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

 ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran 53 motosikal dan lapan kereta yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur, hari ini.  FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 8:15 AM