Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memerlukan dua balai bomba dan penyelamat (BBP) di kawasan Gua Musang bagi meningkatkan tempoh masa bertindak sehingga di bawah 10 minit.

Pengarahnya Zainal Madasin berkata, dua BBP yang dicadangkan adalah di Lojing dan Chiku kerana dilihat sangat diperlukan di kawasan pedalaman.

Menurutnya, pembinaan dua balai itu terutama di Chiku amat diperlukan bagi meningkatkan tempoh bertindak anggota bomba sekiranya berlaku kemalangan jalan raya, banjir serta kebakaran hutan.

"Untuk tempoh bertindak di kawasan bandar, kita memerlukan di bawah 10 minit manakala pedalaman pula, anggota bomba tiba kira-kira 20 minit untuk melakukan proses menyelamat.

"Buat masa kini jika berlaku apa-apa kejadian di Gua Musang, kami mendapat sokongan daripada BBP Gua Musang dan BBP Jeli yang agak jauh sekali gus mengurangkan tempoh masa bertindak.

"Mungkin dapat dipertimbangkan juga sebuah balai (BBP) di Lojing, namun kami sedar pembinaannya memerlukan kos yang besar dan bergantung kepada jabatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan bulanan anjuran Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Kelantan di Tunjong, di sini, selain melakukan pelancaran Hari Kebangsaan, hari ini.

ZAINAL (tengah) meletakkan Jalur Gemilang di motosikal yang digunakan oleh anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) JBPM Kelantan sempena gimik pelancaran Bulan Kebangsaan di Dataran Dato' Hj Soiman, Tunjong. FOTO Siti Rohana Idris
ZAINAL (tengah) meletakkan Jalur Gemilang di motosikal yang digunakan oleh anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) JBPM Kelantan sempena gimik pelancaran Bulan Kebangsaan di Dataran Dato' Hj Soiman, Tunjong. FOTO Siti Rohana Idris

Katanya, sebuah lagi BBP akan dibina di Kuala Balah, Jeli yang kini sedang dalam proses tender sekali gus mampu menyokong anggota dari BBP Jeli dan BBP Kuala Krai.

Dalam perkembangan lain, Zainal berkata, pihaknya juga mencadangkan sebuah makmal forensik kebakaran dapat dibina di negeri ini bagi memudahkan siasatan dilakukan.

Menurutnya, permohonan pernah dibuat sebelum ini, namun ditolak atas alasan tiada kesesuaian berikutan kes kebakaran di negeri ini adalah terkawal.

"Biasanya kajian forensik kebakaran akan dihantar ke makmal di Terengganu dan agak memakan masa dari segi perjalanan dan kami memohon untuk diadakan sebuah makmal yang sama di Kelantan.

"Permohonan itu bagaimanapun ditolak, namun kami akan cuba sekali lagi memohon kerana dari segi keanggotaan di bahagian forensik di Kelantan, kami ada seramai 14 orang dan ia sudah mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 1:37 PM