KAPAL layar yang ditahan APMM di perairan Langkawi semalam. FOTO Ihsan APMM.
KAPAL layar yang ditahan APMM di perairan Langkawi semalam. FOTO Ihsan APMM.
Hamzah Osman / 22AUG22


Langkawi: Kapal layar membawa pelancong melihat pemandangan matahari terbenam di sekitar perairan ini ditahan semalam kerana beroperasi tanpa dokumen sah.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menahan kapal layar itu ketika berlabuh di 0.2 batu nautika di timur laut Pulau Tuba pada 6.55 petang.

Katanya, ketika ditahan terdapat dua pemilik dan kru serta lapan penumpang berusia antara 46 hingga 56 tahun di atas kapal.

"Kapal layar yang didaftarkan di negara ini dipercayai disyaki beroperasi secara haram selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk menjalankan aktiviti rekreasi di laut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Romli berkata, pemilik dan kru dibawa ke jeti APMM di Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau mengingatkan semua pengusaha kapal layar agar mematuhi peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 12:36 PM