GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis menahan tiga lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ketika mengadakan Op Samseng Jalanan di Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di Bagan Ajam, di sini sejak tengah malam hingga pagi tadi.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan sebelum itu dikatakan menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya menyebabkan mereka ditahan.

Penahanan ketiga-tiga lelaki berusia 21,23 dan 36 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie.

Menurutnya, polis kemudian menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tiga suspek terbabit dan mendapati mereka bertiga positif dadah jenis Methaphetamine.

"Ketiga-tiga mereka seterusnya diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

"Selain dikesan menunggang motosikal dalam pengaruh dadah, salah seorang daripada suspek yang ditahan juga didapati mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal yang ditunggangnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dalam operasi yang bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi itu, pihaknya menyita 13 motosikal dan mengeluarkan 77 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti ini diminta untuk menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5759122," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan menunggang motosikal dalam pengaruh dadah manakala menggunakan nombor pendaftaran palsu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 4:21 PM