FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki memaki hamun dan mengugut pasangan suami isteri dengan senjata tajam hingga mendatangkan ketakutan di Sungai Dua di sini, pada Khamis lalu serta semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan dari seorang lelaki yang memaklumkan dia dan isterinya diugut suspek berusia lingkungan 40-an.

"Kejadian berlaku pada 12.15 tengah malam Khamis lalu apabila suspek bertindak menengking isterinya yang baharu pulang ke rumah sambil menunjukkan objek tajam di dalam plastik tetapi isterinya tidak menghiraukan suspek lalu terus masuk ke dalam rumah.

"Semalam, sekali lagi suspek bertindak memaki hamun isterinya apabila wanita pulang ke rumah pada 12.30 tengah hari lalu menyebabkan dia (suami) keluar untuk bertanyakan kepada suspek mengapa tidak berpuas hati.

"Bagaimanapun, suspek bertindak menakutkan pasangan suami isteri itu dengan menunjukkan parang di dalam plastik dan menetak pagar rumah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek tinggal bersendirian dan tidak berkahwin serta berjiran dengan pasangan suami isteri berkenaan selama 13 tahun, mereka dikatakan tidak pernah berselisih faham sebelum ini.

"Temubual yang dijalankan terhadap jiran lain memaklumkan bahawa suspek sering mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pasangan suami isteri itu tetapi tidak diketahui sebab suspek bertindak sedemikian," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai bertindak demikian berikutan berang pasangan suami isteri berkenaan menuduh dan menyebarkan kepada umum bahawa dirinya mempunyai penyakit mental.

Noorzainy berkata, suspek didapati sudah melarikan diri dan usaha mengesannya giat dijalankan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di talian 04-5759122," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:47 PM