KEADAAN longkang di sekitar sebuah kilang sembelihan dan memproses ayam di Taman Selayang Utama. FOTO Ihsan MPS.
KEADAAN longkang di sekitar sebuah kilang sembelihan dan memproses ayam di Taman Selayang Utama. FOTO Ihsan MPS.
Nurul Hidayah Bahaudin


Selayang: Jijik, kotor dan berbau. Itu keadaan longkang di persekitaran sebuah kilang sembelihan dan memproses ayam di Taman Selayang Utama, di sini.

Tambah menjijikkan apabila sisa ayam seperti bulu, organ ayam dan darah ayam memasuki saliran Indah Water Konsortium (IWK) sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya menjalankan operasi di premis berkenaan, semalam.

"Operasi itu dijalankan Unit Kawalan Mutu Makanan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS selepas menerima aduan daripada portal SISPAA-MPS.

"Susulan pemeriksaan dilakukan, tindakan penutupan serta-merta selama 14 hari sehingga dibersihkan secara menyeluruh diambil terhadap pemilik premis berkenaan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan dan Establisyment Makanan 2007," katanya.

Menurutnya, pemilik premis juga dikenakan tindakan kompaun di bawah Seksyen 19(1)d UUK Establisyment Makanan MPS 2007

berjumlah RM500 iaitu pelepasan 'effluen' seperti darah dan bulu ayam terus ke dalam longkang.

"MPS akan terus membuat pemantauan secara serius dan pemilik premis perniagaan diarahkan untuk mengikut spesifikasi.

"Pemilik premis juga diminta mematuhi garis panduan dan arahan ditetapkan atau tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 6:27 PM