JENAZAH Muhamad Hafiz selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerong. FOTO Syaharim Abidin
JENAZAH Muhamad Hafiz selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerong. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, salah seorang mangsa dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam memohon rakyat Malaysia berhenti menyebarkan gambar dan video kejadian itu di media sosial.

Adik Allahyarham, Noorhidayah Muhamad Saleh, 30, berharap semua pihak dapat memahami dan menghormati perasaan mereka sekeluarga yang kehilangan abang sulung dalam sekelip mata.

"Saya nak minta tolong jasa baik rakyat Malaysia yang masih menyebarkan gambar video abang saya. Saya mohon sangat-sangat tolonglah padam dan hentikan sebar, kita tak tahu yang Allah nak jemput dia dengan cara macam tu.

"Minta jaga perasaan keluarga sebab kami sebenarnya masih terkejut sebab dia abang sulung (tapi) seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan abang saya tak henti-henti saya ucap terima kasih banyak-banyak semoga Allah membalas jasa baik kalian," katanya.

Noorhidayah yang ditemui selepas selesai pengebumian jenazah Muhamad Hafiz di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Huda Kampung Jerong, di sini, petang tadi.

Penghantar makanan itu adalah jenazah pertama dikenal pasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sebelum dituntut oleh bapanya, Muhamad Salleh Othman, 57, pada jam 9.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 6:59 PM