SUSPEK ditahan SPRM bagi bantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah RM3,200 daripada pemilik restoran. FOTO Ihsan SPRM
SUSPEK ditahan SPRM bagi bantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah RM3,200 daripada pemilik restoran. FOTO Ihsan SPRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


BEKAS pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) Batu Pahat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pemilik restoran di Batu Pahat, Johor tahun lalu.

Pada kenyataan media, SPRM berkata, hasil siasatan, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah RM3,200 daripada pemilik restoran itu sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses pemasangan meter elektrik di premis berkenaan pada Ogos 2016.

Katanya, ketika kejadian, suspek bertugas sebagai Penolong Juruteknik Tingkatan Kanan di Bahagian Pemotongan Meter Elektrik, TNB Cawangan Batu Pahat.

“Suspek yang juga lelaki berusia 31 tahun ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, jam 4 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan terbabit namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 8:14 PM