KEADAAN treler yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN treler yang dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Seorang kelindan treler maut apabila treler yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 354 Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi, Keria Salleh, 48, dipercayai tercampak dari treler berkenaan sebelum disahkan maut di tempat kejadian.

Manakala pemandu treler yang berusia 54 tahun hanya cedera di sebelah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan maut berkenaan membabitkan dua treler yang dalam perjalanan ke arah utara.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati apabila tiba di tempat kejadian, treler muatan kosong yang dinaiki mangsa melanggar bahagian belakang treler muatan plastik yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Pulau Pinang.

"Akibat perlanggaran itu mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

"Mangsa yang berasal dari Jitra, Kedah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Slim River (HSR) di tempat kejadian manakala pemandu treler berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula cedera pada bahagian kaki kanan dan dihantar ke HSR untuk menerima rawatan selanjutnya.

"Mayat mayat dihantar Unit Forensik Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya dan pemandu treler muatan plastik berusia 52 tahun pula tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 11:02 AM