PEMANDANGAN berjerebu dirakam berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. FOTO BERNAMA
PEMANDANGAN berjerebu dirakam berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Jerebu melanda beberapa kawasan di Sarawak berikutan cuaca panas melampau sejak beberapa hari lalu.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), 13 daripada 14 stesen di Sarawak mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap sederhana.

Bagaimanapun, bacaan IPU di Kuching adalah yang tertinggi di negara ini sejak petang semalam.

Berdasarkan bacaan setiap jam yang dikeluarkan di laman web APIMS, IPU di Kuching direkod pada tahap 91 pada 1 tengah hari tadi.

Bacaan IPU di Kuching mencecah 96 pada 11 malam tadi hingga 2 pagi hari ini.

Stesen Samarahan pula mencatat bacaan kedua tertinggi iaitu 86 diikuti Sri Aman yang mencatat bacaan 85.

Stesen lain yang mencatat bacaan IPU sederhana ialah ILP Miri 51, Miri (53), Samalaju (52), Bintulu (68), Mukah (60), Kapit (61), Sibu (54) dan Sarikei (61).

Satu-satunya stesen yang mencatat bacaan IPU baik ialah Limbang dengan 46.

Tahap IPU 0 hingga 50 adalah 'Baik'; 51 hingga 100 adalah 'Sederhana'; 101 hingga 150 adalah 'Tidak Sihat untuk Kumpulan Sensitif; 151 hingga 200 adalah 'Tidak sihat'; 201 hingga 300 adalah 'Sangat Tidak Sihat'; dan bacaan 300 ke atas adalah 'Berbahaya'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 2:21 PM