Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Hamzah Zainudin. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipecat keahlian manakala dua lagi ahli digantung keahlian selepas bertanding sebagai calon bebas dan memboikot kempen Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu berkuatkuasa serta-merta mengikut Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

Menurutnya, mana-mana ahli yang tidak mendapat kebenaran parti tetapi bertindak melanggar disiplin dengan bertanding, menjadi pencadang atau penyokong kepada parti lain atau calon Bebas, keahliannya terhenti serta-merta mengikut Fasal 10.2.4 Perlembagaan Bersatu.

"Justeru, Majlis Pimpinan Tertinggi dalam mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat PN pada 3 petang, memutuskan seorang ahli dipecat serta-merta.

"Manakala dua lagi ahli digantung keahlian serta-merta selama tiga tahun kerana melanggar Fasal 10.2.2 perlembagaan sama kerana perbuatan menghasut, memboikot dan mensabotaj kempen pilihan raya PN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bersatu menzahirkan komitmen tertinggi untuk memastikan gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu berada ditahap maksimum bagi menjamin kemenangan PN.

Pada hari penamaan calon hari ini, penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon bebas.

Sallehuddin sebelum ini adalah calon Bersatu yang memenangi kerusi itu atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Selain itu, Ketua Bersatu Jerlun Abdul Ramli, turut tampil menjadi calon bebas dengan saingan tiga penjuru bersama calon PN Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan penyandang, Dr Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 8:55 PM