DATUK Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin. FOTO NSTP
DATUK Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin. FOTO NSTP
Suraya Roslan


CALON bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin digugurkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara serta-merta.

Surat itu ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, hari ini.

Melalui satu surat diedarkan kepada Zainul Hisham itu, tertera kedudukan beliau sebagai ahli Bersatu di bawah Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 perlembagaan parti dihentikan sebaik dia bertanding sebagai calon bebas.

"Pada 20 Jun 2020 (Sabtu), YBhg Dato (Tengku Zainul Hisham) didapati mengemukakan borang penamaan calon dalam Pilihanraya Kecil N23 Chini sebagai calon bebas tanpa kebenaran dan persetujuan Bersatu.

"Dengan ini, dimaklumkan menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Bersatu, keahlian YBhg dalam Bersatu adalah terhenti serta-merta," kata Suhaimi dalam surat itu.

Tengku Zainul Hisham yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan berdepan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:28 PM