ANTHONY Loke Siew Fook (atas, kiri) bersama penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (dua kiri) pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PH Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana, petang tadi. FOTO Amir Mamat.
ANTHONY Loke Siew Fook (atas, kiri) bersama penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (dua kiri) pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PH Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana, petang tadi. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Melaka: Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack berhadapan dengan tindakan tegas, termasuk akan digugurkan keahlian parti sekiranya beliau meneruskan hasrat bertanding atas tiket Bebas di kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata tindakan itu sejajar dengan dasar parti yang menetapkan keahlian seseorang individu dalam DAP akan digugurkan secara automatik sekiranya bertanding atas tiket Bebas.

Beliau berkata, turut akan dibatalkan adalah cadangan untuk menamakan Wong Tack sebagai calon di Parlimen Cameron Highlands.

"Itu memang satu daripada dasar DAP (iaitu) mana-mana ahli parti yang bertanding atas tiket Bebas akan dilucutkan keanggotaannya serta-merta tanpa perlu menunggu surat rasmi dikeluarkan.

"Bagaimanapun, sekarang ini dia hanya nyatakan dan belum berlaku lagi, saya harap beliau tidak akan melakukannya (kerana) kalau pada hari penamaan calon beliau letak saja (borang) sebagai calon Bebas, maka keahliannya dalam DAP akan terlucut," katanya selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kota Melaka di Kota Laksamana di sini, hari ini.

Pada majlis itu, penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dinamakan semula sebagai calon DAP bagi mempertahankan kerusi terbabit.

Semalam, DAP menamakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara sebagai calon di kerusi Parlimen Bentong.

Susulan itu, Wong Tack mengisytiharkan akan bertanding di Bentong sebagai calon Bebas selepas namanya digugurkan sebagai calon PH di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 9:28 PM