DR Mahathir dan Mukhriz. FOTO Arkib NSTP
DR Mahathir dan Mukhriz. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak menerima pemecatan yang disifatkan sebagai salah dan jelas bertentangan dengan undang-undang.

Dalam kenyataan media bersama itu, Dr Mahathir, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada BERSATU, Syed Saddiq Syed Rahman; Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah merizabkan hak mengambil tindakan undang-undang, bukan sahaja untuk diri mereka tetapi bagi memastikan kemaslahatan ahli akar umbi BERSATU.

Mereka berpendapat, melalui surat bertarikh hari ini, dinyatakan bahawa mereka berlima dikatakan melanggar peruntukan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

"Dakwaan yang terkandung di dalam surat berkenaan adalah bahawa tindakan kami berlima mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei lalu sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyebabkan kami melanggar perlembagaan parti BERSATU.

"Peruntukkan 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU menyatakan 10.2.2 mengisytiharkan keluar daripada parti dan 10.2.3 menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini," katanya.

Dalam kenyataan bersama itu, katanya, berdasarkan pada takrifan berkenaan, amat dangkal dan tidak munasabah untuk mereka dikatakan keluar parti sedangkan hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak mereka mengikut Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah.

"Kami langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ia bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang-undang.

"Yang jelas, pejabat Presiden bermain politik semasa isu Covid-19 dan kegawatan ekonomi yang kini melanda negara. Ini juga menampakkan sikap diktator Presiden.

"Kami juga menyatakan di sini bahawa tindakan sebelah pihak (unilateral) oleh Presiden BERSATU kini dalam memecat kami tanpa sebab adalah kerana kegusaran beliau dalam menghadapi pemilihan parti serta posisi beliau yang tidak selamat selaku Perdana Menteri yang paling tidak stabil dalam sejarah pentadbiran negara kita," katanya.

Mereka turut mendakwa, surat diutus itu juga pada zahirnya menampakkan kecelaruan uru setia parti BERSATU kini yang ditandatangani oleh individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti dan tidak langsung menampakkan BERSATU ditadbir secara profesional.

"Tindakan seorang Setiausaha Kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang antaranya adalah pengasas parti BERSATU sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab.

"Kami akan memastikan BERSATU kembali ke landasan betul dan tidak lagi dijadikan wahana pacuan sesetengah pihak yang hanya tamakkan kuasa dan kedudukan.

"Pada Ahli Parlimen Bersatu yang lain, kami menyeru dan memanggil anda, lihat apa yang kini berlaku pada parti kita sendiri, hilang kuasa di negeri dan menjadi bahan mainan parti yang dulu kita tentang bersama," katanya.

Berita berkaitan

Tun M dipecat dari Bersatu

'Digugurkan keahlian, bukan dipecat'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 11:08 PM