Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jertih, Mohd Rozaini Mohd Rasli atau Koja teruja apabila menjadi calon paling muda untuk Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Terengganu.

Rozaini berkata, pada awalnya timbul rasa gementar dengan suasana hari penamaan calon kerana tidak menyangka menerima sokongan daripada ramai penyokong pelbagai peringkat usia.

Katanya, Dun Jertih dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, namun keputusan pada PRU ke-15 lalu adalah sebaliknya.

"Ini bukan laluan mudah bagi saya untuk mengekalkan Dun Jertih dan mahu mencari kemenangan pada PRN Terengganu kali ini.

"Berbekalkan keyakinan dan sokongan menjadi titik permulaan serta menyuntik semangat untuk saya bekerja lebih kuat membela nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong, Jertih, di sini, hari ini.

Hadir sama mengiringi perarakan calon BN ialah bekas Ahli Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Koja berkata, fokus utamanya adalah membela kebajikan dan mengembalikan apa yang sepatutnya diperolehi rakyat di Dun Jertih sebelum pemerintahan kerajaan Pas di Terengganu.

ROZAINI (dua dari kiri) selesai menyerahkan borang penamaan calon di Pusat di Penamaan calon di Dewan Gong Kemuntong, Jertih, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ROZAINI (dua dari kiri) selesai menyerahkan borang penamaan calon di Pusat di Penamaan calon di Dewan Gong Kemuntong, Jertih, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

"Sebelum ini setiap tahun rakyat menerima bantuan dana raya, namun ketika pemerintahan kerajaan Pas, dana berkenaan hanya diagihkan beberapa tahun kebelakangan ini sahaja.

"Saya juga yakin manifesto BN Terengganu yang menawarkan pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah RM5,000 (subsidi RM500) akan dapat menarik sokongan pengundi muda untuk memilih BN.

"Kita juga menyambut baik manifesto mahu meneruskan Lebuhraya Pantai Timur fasa ketiga, membina jalan empat lorong dari Kuala Terengganu ke Besut agar memudahkan rakyat Besut mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan lebih cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 2:48 PM