Aizat Sharif


Jitra: "Tiada istilah 'derhaka' tetapi lebih kepada semangat kekeluargaan sebenarnya."

Itu kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, 54 dari Perikatan Nasional (PN) apabila bakal berdepan dengan bekas gurunya, Zainol Abidin Mohamad, 65 dari Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kedah yang membahasakan dirinya sebagai Kak Ton berkata, Zainol Abidin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Non adalah guru Matematiknya ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun suatu ketika dahulu.

"Cikgu Non adalah sahabat dan cikgu yang mengajar Kak Ton subjek Matematik dari Tingkatan Satu hingga Lima malah beliau juga adalah sahabat kepada suami Kak Ton.

"Hari ini, kita hanya dibezakan parti sahaja, secara peribadi, kita tetap bersahabat dan tiada apa masalah pun.

"Malah, Kak Ton di sini hanya untuk mempertahankan kerusi Bukit Kayu Hitam ini sahaja dan tiadalah istilah anak murid lawan cikgu untuk menderhaka, memang tiada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Tunku Anum Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu, di sini hari ini.

Katanya, provokasi penyokong lawan terhadapnya adalah perkara biasa mengenai situasi anak murid lawan guru tetapi beliau hanya menjalankan arahan parti untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan.

"Sebenarnya, kita disini adalah untuk berkhidmat jadi siapa yang menang pun adalah kuasa daripada Allah.

"Malah, Cikgu Non juga adalah orang yang baik dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar hari ini," katanya.

Bagi Zainol Abidin yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu pula, menentang bekas pelajarnya yang juga penyandang kawasan itu adalah suatu tugas besar harus digalas olehnya selepas diamanahkan oleh parti.

"Saya tidak ada masalah dengan Halimaton malah kita memang bersahabat dan biasalah kita akan bersama-sama melihat keupayaan masing-masing untuk menang di Bukit Kayu Hitam ini.

"Halimaton juga adalah seorang wanita yang baik dan saya harap kita dapat bersaing secara sihat dan harmoni," katanya.

Pada PRU ke-14 pada 2018 lalu, Halimaton mencipta kejutan dengan menewaskan penyandang kerusi berkenaan Datuk Zaini Japar dari BN dengan majoriti sebanyak 2,153 undi.

N05: Bukit Kayu Hitam

Calon: Zainol Abidin Mohamad (BN-Umno)

Calon: Datuk Halimaton Shaadiah Saad (PN-Bersatu)*

*Penyandang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 2:05 PM
(Dari kiri) SABRINA Ahmad (PH-PKR), Zainol Abidin (BN-Umno) dan calon Perikatan Nasional, Prof Hail Hilman dan Halimaton *kanan sekali) disahkan bertanding merebut kerusi DUN Jitra dan Bukit Kayu Hitam. FOTO Aizat Sharif
(Dari kiri) SABRINA Ahmad (PH-PKR), Zainol Abidin (BN-Umno) dan calon Perikatan Nasional, Prof Hail Hilman dan Halimaton *kanan sekali) disahkan bertanding merebut kerusi DUN Jitra dan Bukit Kayu Hitam. FOTO Aizat Sharif