LELAKI yang disyaki terbabit kes samun kedai serbaneka. FOTO Ihsan Polis.
LELAKI yang disyaki terbabit kes samun kedai serbaneka. FOTO Ihsan Polis.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tiga lelaki ditahan reman enam hari bermula hari ini hingga 13 April, bagi membantu siasatan kes samun kedai serbaneka di Cheras, Kajang dan Ampang.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, semua suspek berusia antara 21 hingga 25 tahun sebelum itu ditahan bermula jam 10.30 malam Khamis.

Katanya, suspek pertama ditahan di Bandar Sri Permaisuri sebelum dua lagi lelaki ditahan dan pihaknya merampas barangan dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Semua suspek memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Hasil tangkapan ini, polis telah berjaya menyelesaikan lapan kes samun yang berlaku di sekitar kawasan Cheras, Kajang dan Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah untuk menyalurkannya ke Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 9:03 PM