Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. - FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Sungai Buloh: Kerajaan akan mula membentangkan kerangka pertama statistik gaji negara secara suku tahunan, Ogos ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerangka itu salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat yang masih berada di paras 36 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kerangka statistik gaji negara secara suku tahun itu akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada minggu ini sebelum dibentangkan ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Ogos ini.

"Kita mahu menyelesaikan nisbah pampasan gaji pekerja berbanding nilai ekonomi dijana KDNK yang masih lagi di belakang jika dibandingkan negara ekonomi setara dengan kita yang sasaran sepatutnya 38 peratus.

"Tetapi lebih mendesak di negara ini ialah isu purata gaji rendah sebab itu saya sebut kerajaan akan mula terbitkan statistik gaji negara secara suku tahun itu sebahagian langkah yang kita tumpukan untuk menutup jurang gaji rendah," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir serta Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan dan libat urus dengan kementerian berkaitan, kesatuan pekerja, majikan serta pakar dalam industri akan dilakukan bagi mencapai kata sepakat.

Ditanya sama ada inisiatif itu akan menimbulkan tekanan kepada majikan, beliau berkata, statistik yang akan diterbitkan itu akan menjadi panduan terutama dalam membantu pekerja memberi tumpuan mengenai tarif gaji mereka.

"Sebenarnya statistik ini sebagai penanda aras kerana pasaran pekerjaan adalah terbuka, contohnya satu bakat untuk sesuatu kerja tertentu adalah purata gaji industri itu dan tidak seharusnya ditawarkan gaji lebih rendah.

"Saya berharap di pasaran, ada persaingan kompetitif untuk 'bidding of talent' kerana majikan berterusan tidak mahu menawarkan gaji lebih tinggi.

"Jika ini berlaku, sudah tentu mereka akan berdepan dengan masalah tenaga kerja," katanya.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi mencadangkan Model Gaji Progresif (PWM) diwujudkan memandangkan kadar upah RM1,500 tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa dan majikan sebenarnya mampu membayar pekerja sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Untuk rekod, sistem gaji progresif ialah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya ia setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:49 PM