SEORANG pesawah menanam anak benih padi di sawah miliknya.
SEORANG pesawah menanam anak benih padi di sawah miliknya.
Suzalina Halid dan Nor Farhani Che Ad dan Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Warga petani dan pesawah antara golongan bertuah apabila sering diberi perhatian khusus oleh kerajaan ditunjangi Barisan Nasional (BN) melalui pengagihan pelbagai insiatif dan bantuan.

Terbaru 39,102 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima bantuan khas pesawah RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan untuk musim 1 2018 membabitkan peruntukan keseluruhan RM23.4 juta yang mula diagih 14 April lalu.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, pengagihan bantuan khas adalah sebahagian daripada pelbagai insiatif diambil kerajaan, malah petani sendiri turut menerima subsidi RM2,546 bagi setiap hektar sawah yang diusahakan bagi setiap musim.

Beliau berkata, itu semua tidak termasuk bantuan membajak, benih padi, baja, racun, subsidi harga padi dan beras serta banyak lagi yang diagihkan dari semasa ke semasa kepada golongan sasar selain Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mana hampir setiap 57,000 petani di bawah MADA di Kedah dan Perlis menerimanya.

“Segala bantuan disalurkan membuktikan kerajaan tidak hanya berjanji tetapi menunaikannya. Malah ia mungkin akan ditambah lagi pada di masa depan seperti dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika melancarkan bantuan khas pesawah di Jerlun pada bulan lalu.

“Saya yakin kerajaan akan terus memperkasakan pesawah sehingga mereka dapat menjadikan industri ini sebagai rantaian perniagaan yang paling menguntungkan, cuma yang kita bimbang bantuan yang selama ini dinikmati pesawah mungkin tidak akan kekal sekiranya pemerintahan negara berubah,” katanya.

Perdana Menteri mengumumkan bayaran khas kepada pesawah di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM150 juta, bertujuan meringankan beban petani sementara menunggu hasil tuaian padi.

Selain itu, Manifesto BN Kedah untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) turut menggariskan secara khusus Projek Jeniang Transfer bernilai RM960 juta yang dijangka membawa manfaat kepada 39,000 hektar kawasan padi dan 18,000 pesawah, selain RM2.7 bilion lagi untuk membina dan menambah baik saliran tertiari kawasan MADA.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) B2 Sanglang, Ishak Taib, 55, mengakui kesedihan dialami pesawah khususnya kira-kira 3,000 di kawasan Parlimen Jerlun sedikit terubat dengan pengagihan bantuan khas itu.

Beliau berkata, sebelum kerajaan melaksanakan bantuan khas bermula tahun ini, ramai petani mengambil wang pendahuluan atau modal pusingan di PPK untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kini, katanya permohonan pengambilan modal pusingan itu mula berkurangan apabila pesawah sudah memperoleh bantuan khas itu yang kini sudah mula dibayar April lalu melalui akaun bank masing-masing.

“Kebanyakan petani di sini melaksanakan sawah secara skala kecil dan bayangkan jika mereka mengerjakan sawah seluas sehektar dan mempunyai tiga anak, maka petani itu kena peruntukan sekurang-kurangnya RM30 sehari.

“Jika mereka tidak mempunyai sumber lain seperti menjual kelapa atau pisang, kehidupan mereka amat susah untuk tempoh enam bulan setahun dan mereka ini amat berjimat cermat dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“PPK menjadi tempat untuk mereka meminjam modal operasi atau lebih buruk mereka pergi mencari orang tengah atau tauke untuk membuat pinjaman atau mengambil dulu barangan keperluan asas,” katanya.

INFO

Projek pembangunan MADA Parlimen Jerlun (sistem pengairan tersier)

• 21,564 hektar dilaksanakan sejak 2013 hingga 2020

• Kos keseluruhan kira-kira RM8.05 juta

• Membabitkan enam fasa dengan lebih 80 kampung bakal menerima manfaat antaranya Kampung Telaga Batu, Kampung Matang Kong, Kampung Alor Biak dan Kampung Kubang Sepat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:19 AM