Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid menunjukan peralatan mencuri motosikal susulan penahanan dua lelaki warga asing dan lelaki tempatan dikenali Geng Ento Batang C pada sidang media di IPD Petaling Jaya. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid menunjukan peralatan mencuri motosikal susulan penahanan dua lelaki warga asing dan lelaki tempatan dikenali Geng Ento Batang C pada sidang media di IPD Petaling Jaya. Foto Muhaamad Hafis Nawawi
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Ubah suai pemutar skru untuk dijadikan alat menghidupkan motosikal sebelum dicuri dan disembunyikan di sebuah pondok di Semenyih.

Motosikal yang dicuri itu kemudian disembur cat baru dan ditampal pelekat lain menggunakan alat pengering rambut sebelum diganti nombor pendaftaran palsu untuk dijual semula kepada warga asing dengan harga antara RM300 hingga RM700.

Bagaimanapun kegiatan dua lelaki warga asing bersama seorang lelaki tempatan dikenali Geng Ento Batang C terbongkar selepas polis menahan mereka dalam serbuan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan motosikal yang diletakkan di Apartment Lestari, di sini, 17 Julai lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Balai Polis Kota Damansara menahan dua lelaki warga asing berusia 33 dan 35 tahun di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Damansara, di sini, pada jam 12.05 tengah hari, Jumaat lalu.

"Kita turut merampas peralatan mencuri iaitu pemutar skru yang diubah suai, sebilah pisau, cukai jalan, pelekat motosikal, cat semburan, pengering rambut dan telefon bimbit.

"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Semenyih pada jam 1.45 tengah hari.

"Susulan penahanan mereka, polis merampas tujuh motosikal yang dilaporkan hilang membabitkan kerugian RM35,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, dua warga asing itu memasuki negara ini sejak 2016 dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, mereka akan menjual semula motosikal itu kepada warga asing termasuk digunakan untuk perladangan.

"Suspek menyembunyikan motosikal terbabit dalam pondok sementara mencari pembeli dan bagi mengelak dikesan, mereka mengecat semula dan menukar pelekat motosikal termasuk menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Suspek direman empat hari sehingga semalam dan diserahkan kepada polis daerah Kajang untuk siasatan selanjutnya," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 2:21 PM